SINDIKET penjualan ubat tidak berdaftar mengandungi sibutramine secara dalam talian melibatkan syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik dibongkar di Seksyen 19, Shah Alam baru-baru ini.
Serbuan pada 3 Jun lalu digerakkan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama CPF Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.
Sibutramine adalah sejenis ubat yang digunakan untuk membantu mengurangkan berat badan dan hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.
Pengarah JKNS, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, operasi bermula jam 11 pagi susulan aduan awam mengenai aktiviti penjualan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik terbabit dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar mengandungi sibutramine kepada pengguna di Malaysia.
“Hasil pemeriksaan telah berjaya merampas sebanyak tiga jenis produk tidak berdaftar mengandungi sibutramine selain 21 jenis produk suplemen kesihatan berjenama luar negara yang tidak berdaftar.
“Nilai rampasan dianggarkan melebihi RM5.6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penggunaan sibutramine tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung.
Tambahnya, selain itu ia juga memberi risiko komplikasi kardiovaskular termasuk strok dan serangan jantung.
Dalam pada itu, Ummi Kalthom berkata, sepanjang tahun 2025, CPF JKNS telah menjalankan pemeriksaan terhadap 13 buah syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik di Selangor dan telah berjaya merampas produk-produk tidak berdaftar termasuk suplemen-suplemen jenama luar negara dengan nilai rampasan melebihi RM30 juta.
“Siasatan menunjukkan terdapat penglibatan penjual-penjual dari negara luar yang menggunakan syarikat pengendali perkhidmatan hab logistik sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar.
“Produk itu dijual kepada pengguna di Malaysia menggunakan pelbagai platform e-dagang,” ujarnya.
Tegasnya, penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jelas beliau, tindakan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF JKNS dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan keluaran luar negara yang tidak berdaftar di pasaran bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin.
“Seiring dengan itu, KKM turut melaksanakan kempen kesedaran seperti ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang.
“Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati melalui laman sesawang rasmi TOBaTS di pautan https://pharmacy.moh.gov.my/tobats,” ujarnya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran produk dengan merujuk kepada pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk berkenaan.
“Status pendaftaran produk farmaseutikal boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan product search atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400,” katanya.






