PGA tahan lelaki ambil upah bawa beras seludup dari Thailand

PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemandu yang menerima upah RM100 untuk satu perjalanan bagi membawa beras seludup dari Thailand menggunakan lori ke negara ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan ketika memandu lori dengan muatan 8.5 tan di jalan Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu, di Tumpat, semalam.

Muatan beras seludup itu belum sempat dibawa ke lokasi yang ditetapkan iaitu di sekitar Besut, Terengganu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pada jam 4.30 petang semalam, pasukannya membuat pemantauan sebelum mengesan sebuah lori Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di belakang kenderaan itu menemukan sejumlah 8.5 tan beras seludup dari Thailand.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran barang yang dilakukan mengikut arahan penghantaran.

“Siasatan lanjut mendapati lori digunakan diambil di kawasan Kampung Bunohan, Tumpat sebelum digunakan untuk penghantaran dan membawa barang ke lokasi yang ditetapkan di sekitar daerah Besut, Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, beras seludup yang dirampas dianggarkan bernilai RM34,000, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah RM114,000.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img