PGA tahan remaja 18 tahun miliki helang merah, musang tanpa permit

BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai memelihara pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk seekor helang merah, burung hantu carik kafan dan dua ekor musang pandan tanpa permit di Kampung Bunohan di Tumpat hari ini.

Serbuan kira-kira jam 3.15 petang itu dijalankan anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menerusi Op Taring Wawasan.

SEEKOR burung helang merah yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas dalam serbuan Briged Tenggara PGA di Kampung Bunohan Tumpat hari ini. GAMBAR: PGA

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas telah meminta suspek mengemukakan lesen atau permit sah bagi pemilikan hidupan liar berkenaan, namun dia gagal berbuat demikian.

“Suspek kemudian ditahan dan semua hidupan liar yang ditemukan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

Menurut Ahmad Radzi, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,500 dengan burung helang merah sahaja dianggarkan bernilai RM20,000.

Beliau berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau mendakwa semua haiwan berkenaan adalah milik bapanya dan dia hanya bertanggungjawab menjaga, merawat serta memberi makan kepada haiwan tersebut.

“Suspek memaklumkan hidupan liar itu diperoleh bapanya dari kawasan Gua Musang dan telah dipelihara sejak empat tahun lalu.

“Ketika serbuan dijalankan, bapanya dikatakan sedang bekerja sebagai buruh binaan di Gua Musang dan gagal dihubungi,” katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tambah beliau, tangkapan dan kesemua rampasan telah diserahkan kepada Perhilitan Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras aktiviti pemilikan, pemeliharaan dan perdagangan hidupan liar dilindungi tanpa permit yang sah.

“Usaha ini penting bagi memastikan spesies hidupan liar yang semakin terancam terus dilindungi daripada eksploitasi,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img