LANGIT kelabu menyelubungi perjalanan pasukan Indonesia dalam saingan Piala Thomas 2026 apabila mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan, satu keputusan yang jarang berlaku dalam sejarah panjang badminton negara itu.
Dalam aksi terakhir Kumpulan D awal pagi Rabu (29 April 2026), Indonesia tewas 1-4 kepada Prancis, sekali gus menyaksikan kedudukan mereka merosot ke tangga ketiga selepas sebelum ini mendahului kumpulan.
Keputusan itu bukan sahaja menyingkirkan Indonesia daripada kejohanan, malah mencatatkan antara prestasi paling mengecewakan dalam sejarah penyertaan mereka di pentas berprestij tersebut. Kekalahan berturut-turut kepada Perancis menjadi tamparan hebat buat skuad Merah Putih, lapor Republika
Pemain perseorangan lelaki, Jonatan Christie, yang gagal menyumbang mata pertama, memohon maaf atas kegagalannya membantu pasukan.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan mata untuk pasukan Indonesia. Kami ketinggalan tetapi saya harap rakan-rakan tidak terkesan dengan situasi ini,” katanya.
Tekanan perlawanan turut dirasai oleh Alwi Farhan yang mengakui kekuatan fizikal lawan menjadi cabaran utama.
“Corak permainan tidak banyak berubah, tetapi lawan mempunyai pukulan yang sangat kuat. Saya beberapa kali gagal mengantisipasi dan mereka memperoleh banyak mata daripada situ,” jelasnya.
Sementara itu, Anthony Sinisuka Ginting melihat peluang kemenangan sebenarnya berada dalam genggaman sebelum terlepas pada saat kritikal.
“Dalam set ketiga saya mula menemui rentak dan sempat mendahului, tetapi di penghujung perlawanan berlaku sedikit kesilapan yang menyebabkan kaki saya kejang,” katanya.
Di bahagian beregu, pasangan Sabar Karyaman Gutama mengakui kehebatan lawan yang tampil lebih yakin.
“Kami akui Perancis bermain sangat baik dan penuh keyakinan. Ini menjadi pengajaran penting untuk kami ke hadapan,” ujarnya.
Rakan sepasukannya, Mohammad Reza Pahlevi Isfahani pula menyifatkan kegagalan memanfaatkan peluang sebagai punca utama kekalahan.
“Kami mohon maaf kerana tidak dapat menyumbang mata penting hari ini,” katanya.
Sekiranya pasangan itu berjaya menang, Indonesia berpeluang menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan dan layak ke peringkat seterusnya selepas kemenangan pasangan Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri. Namun, harapan tersebut tidak kesampaian.
Kegagalan ini menjadi isyarat jelas bahawa dominasi Indonesia dalam arena badminton dunia masih belum kembali sepenuhnya. Keputusan di Horsens dilihat sebagai peringatan buat PBSI untuk melakukan penambahbaikan segera menjelang sasaran utama, iaitu memburu emas pada Sukan Olimpik 2028.


