PRESTASI murid Malaysia dalam domain Sains dan bacaan meningkat dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2025, namun pencapaian Matematik menunjukkan penurunan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, domain utama Sains meningkat tiga mata berbanding sebelum ini dengan skor 419 mata manakala bacaan naik lima mata kepada 393 mata.
Bagaimanapun kata beliau, domain Matematik pula menurun 11 mata kepada 397 mata.
Fadhlina berkata, peningkatan dalam Sains dan bacaan disifatkan perkembangan positif, terutama ketika purata negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi domain bacaan turut menunjukkan penurunan.
“Pencapaian sains anak-anak Malaysia meningkat. Pencapaian bacaan juga meningkat, ketika purata OECD sendiri menunjukkan penurunan.
“Ini kemajuan yang harus kita hargai,” katanya dalam sidang media mengenai keputusan Pisa 2025 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya hari ini, lapor FMT.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, penurunan pencapaian Matematik perlu diberi perhatian lebih serius dan tidak boleh dilihat sekadar sebagai perubahan dalam satu pusingan pentaksiran.
“Pencapaian Matematik kita menurun dan penurunan ini bukan sesuatu yang kita boleh lihat sebagai perubahan dalam satu pusingan sahaja.
“Itu harus membuatkan kita melihat masalah ini dengan lebih serius, bukan dengan lebih defensif,” katanya.
Dalam domain Penyelesaian Masalah Komputasional pula, Fadhlina berkata, Malaysia memperoleh 484 mata, sekali gus menjadi antara enam negara yang mencatatkan pencapaian melebihi jangkaan.
Beliau berkata, dapatan Pisa 2025 turut menunjukkan murid Malaysia merasakan mereka menerima sokongan kuat daripada guru, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif untuk terus diperkukuhkan dalam sistem pendidikan.
Namun katanya, sokongan ibu bapa terhadap pembelajaran anak menunjukkan penurunan.
“Bagi saya, ini bukan soal mencari siapa yang harus dipersalahkan. Ini soal mendengar apa yang anak-anak perlukan daripada orang dewasa di sekeliling mereka,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM akan meneliti keputusan Pisa 2025 mengikut setiap domain terlebih dahulu, manakala kedudukan keseluruhan Malaysia akan diumumkan kemudian.




