TIADA mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau pegawai dari agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Sebaliknya, SPRM memaklumkan, individu yang ditahan kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kira-kira RM1.6 juta ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi Ke-2, Tanah Rancangan di Tenggaroh 2, Johor.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman yang berkata, SPRM komited menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM hari ini dilaporkan menahan pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun Persekutuan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan pada jam 7.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.
Suspek dipercayai meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah, membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta, sebelum menyeleweng wang berkenaan untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan semua perbuatan itu antara 2016 hingga 2025.





