PKR terima kembali tiga bekas Ahli Parlimen termasuk Kamarudin Jaafar

TIGA bekas Ahli Parlimen meninggalkan PKR – Edmund Santhara Kumar (Segamat), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), dan Steven Choong (Tebrau) – dilapor diterima semula dalam parti susulan rayuan.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah meluluskan rayuan daripada Santhara, Kamarudin, dan Choong pada mesyuaratnya 27 Sept, lapor Malaysiakini.

Santhara dan Kamarudin antara 11 Ahli Parlimen PKR yang meninggalkan parti selepas Langkah Sheraton pada 2020, membawa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan gabungan dipimpin Bersatu. Keduanya kemudian menyertai Bersatu.

Choong pula meninggalkan PKR pada Februari 2021 bersama Ahli Parlimen Julau Larry Sng, selepas mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Surat kelulusan penerimaan semula mereka dalam PKR, bagaimanapun menyatakan keputusan itu tidak mengubah pendirian parti berhubung bon ditandatangani sebelum PRU 2018.

 “Sebarang perkara yang timbul berkaitan perkara ini tertakluk kepada perbincangan antara anda, bendahari agung, dan Presiden,” menurut salinan surat disiarkan Malaysiakini.

PKR menyaman Santhara dan Kamarudin serta empat lagi bekas Ahli Parlimen pada Februari lalu, berhubung dakwaan melanggar syarat bon, yang memerlukan mereka membayar RM10 juta sekiranya mereka menang atas tiket PKR, tetapi kemudian meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Kepulangan tiga Ahli Parlimen itu berlaku selepas bekas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, mengesahkan bulan lalu beliau telah kembali ke pangkuan parti. Portal berita PKR, Suara Keadilan, turut melaporkan bekas Naib presiden, Tian Chua, telah diterima semula.

Baru-baru ini, parti itu turut menyaksikan peletakan jawatan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli, dan bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang keluar pada Mei untuk memimpin Bersama, serta Wong Chen yang keluar pada Ogos.

Semalam, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, sambil berkata beliau akan meninggalkan parti pada Isnin.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here