DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan menziarahi jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya media sama ada beliau akan menziarahi isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
“Ya nanti (saya akan pergi),” katanya ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan majlis International Future Conference 2026 (IFC 2026) yang berlangsung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri turut mengenang jasa dan khidmat Allahyarham Dr Siti Hasmah kepada negara.
Menurutnya, Allahyarham banyak mencurahkan khidmat menerusi kerja kebajikan serta keprihatinan terhadap masalah rakyat ketika bergelar isteri Perdana Menteri.
“Dan kita juga mengenang jasa dan khidmatnya kepada negara. Tun Siti Hasmah aktif masa dia jadi isteri Perdana Menteri.
“Dan tentunya kerja-kerja kebajikan dan keprihatinan terhadap masalah-masalah rakyat,” katanya.
Media hari ini melaporkan mengenai pemergian Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur yang disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir pagi ini.





