DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, etnik Rohingya di negara ini perlu mematuhi undang-undang Malaysia termasuk berkaitan aktiviti perniagaan dan pembinaan.
Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia mengutamakan aspek kemanusiaan dalam menangani isu pelarian, semua pihak tetap wajib menghormati undang-undang negara.
“Nasihat kepada rakyat Myanmar, terutama Rohingya mereka juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.
“Bangunan dan perniagaan mesti mengikut peraturan. Kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan. Tetapi saya harap, selagi undang-undang dihormati, kita akan terus bertegas dalam perkara ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah di Sentul Pasar hari ini.
Menurut Anwar, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Kita juga akan berbincang dengan kerajaan negeri kerana isu bangunan melibatkan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga perlu bertegas,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan isu Rohingya perlu ditangani secara berperikemanusiaan dan bukan sekadar dengan cadangan menghantar mereka pulang ke negara asal.
Menurutnya, usaha penghantaran pulang berdepan pelbagai kekangan berikutan masalah dengan kerajaan Myanmar yang masih menghalang proses berkenaan.
“Orang berbicara soal hantar pulang, hantar pulang, tetapi hendak hantar ke mana?. Kita ada masalah dengan kerajaan Myanmar yang menghalang.
“Kita sedang mencari jalan untuk mereka ditempatkan di negara ketiga atau dihantar pulang, namun setakat ini usaha itu masih belum berhasil. Bukan sahaja Malaysia berdepan cabaran ini, malah Bangladesh juga menempatkan jutaan pelarian. Semalam di Jepun, saya juga bincang dengan Perdana Menteri Jepun (Sanae Takaichi) tentang hal ini.”
katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Islam, supaya terus mengekalkan nilai kemanusiaan dalam menangani isu pelarian, tanpa mengabaikan kepentingan mematuhi undang-undang negara.






