DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemimpin yang memperjuangkan kebajikan rakyat termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke wajar terus diberi ruang untuk berkhidmat dan bukannya didesak meletakkan jawatan.
Perdana Menteri berkata, negara memerlukan barisan kepimpinan yang berpegang pada prinsip serta memahami kesulitan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perhatian dan bantuan kerajaan.
Beliau merujuk inisiatif Kementerian Pengangkutan yang menyalurkan RM91 juta daripada hasil penjualan siri nombor pendaftaran khas kenderaan ‘H’ kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
“Bukan saya nak puji sebab (Anthony) Loke ada di sini tetapi sebab ada orang fikir dia perlu berhenti.
“Kenapa orang baik macam ini kena berhenti. Yang sepatutnya berhenti orang yang ada rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini, lapor FMT.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramly.
Anthony sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah susulan pengampunan bersyarat yang diterimanya.
Mengulas isu itu, Anwar menjelaskan bahawa keputusan berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib bukan terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, sebaliknya tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, Anthony perlu meneruskan tugasnya kerana negara memerlukan pemimpin yang berprinsip dan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan rakyat.
“Saya beritahu kadang-kadang bukan bidang kuasa kita. Saya beritahu Loke tahanan rumah bukan bidang kuasa perdana menteri tetapi keputusan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Suruh dia (Loke) duduk dan buat kerja kerana negara perlu pimpinan yang ada prinsip dan prihatin terhadap rakyat di bawah,” katanya.





