DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
Perdana Menteri berkata, PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi.
Menurut beliau, ia juga sebagai persediaan kepada pekerja yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu, seiring permintaan dan keperluan industri terkini.
“Ia meliputi empat inisiatif utama dan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya ketika menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan 2026 dengan tema `Pekerja MADANI Kesuma Negara’ di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan, kerajaan akan meminda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi memperluas perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Anwar berkata, langkah itu akan dimulakan dengan pekerja rentas sempadan Malaysia–Singapura yang berulang-alik setiap hari.
Menurut beliau, golongan terbabit berdepan risiko tinggi apabila secara purata satu kematian direkodkan setiap minggu atau kira-kira 54 kes setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan.
“Justeru, kita akan pinda Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 bagi membolehkan perlindungan diperluaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.
“Ramai yang bekerja tanpa perlindungan, dan inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor,” katanya.


