HKL nafi ‘zon perang’, jelaskan gangguan akibat naik taraf

HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) menjelaskan keadaan di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang tular di media sosial sebagai ‘zon perang’ sejak Rabu lalu adalah berpunca daripada kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan.

Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K R Nair berkata, projek berkenaan merupakan perancangan strategik bagi menampung peningkatan kapasiti pesakit serta meningkatkan keselesaan perkhidmatan.

“Sepanjang tempoh kerja naik taraf, jabatan ini terpaksa beroperasi dalam kawasan yang mengecil sehingga 50 peratus, manakala baki ruang digunakan sebagai laluan projek.

“Walaupun berdepan kekangan ruang, perkhidmatan kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma masih diteruskan seperti biasa dengan mengamalkan prinsip ‘no wrong door’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, projek naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini dan pihak hospital akan memastikan operasi jabatan terus berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas keadaan infrastruktur yang dilihat uzur, beliau menjelaskan ia bersifat sementara susulan kerja ubah suai yang sedang dijalankan.

“Penambahan kerusi untuk pesakit dan waris juga akan dilaksanakan mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada bagi meningkatkan keselesaan.

“Pihak pengurusan HKL mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat dan sentiasa terbuka menerima cadangan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img