DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-syarikat besar dan konglomerat di Malaysia supaya tidak meminggirkan kebajikan pekerja di sebalik kepesatan ekonomi serta keuntungan luar biasa yang dicatatkan dalam dunia perniagaan mereka.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kejayaan negara melaksanakan dasar gaji minimum RM3,000 sebelum ini membuktikan syarikat besar masih mampu mengekalkan keuntungan meskipun menanggung kos upah yang lebih adil.
Beliau berkata, meskipun terdapat kebimbangan awal dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) ketika dasar itu diperkenalkan, hakikatnya perniagaan mereka terus berkembang dan mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan.
“Pada hari ini saya nak ulangi tegaskan apa yang saya bicarakan setiap tahun, saya mahu majikan dengar, syarikat kaya dan konglomerat besar dengar baik-baik.
“Negara ini harus aman, negara ini harus bangun membangun dan maju. Negara ini harus jamin keselesaan orang kaya dan saudagar-saudagar, tetapi harus juga jamin nasib pekerja itu terbela, ini yang paling utama,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan tema `Pekerja MADANI Kesuma Negara’ di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Anwar pada masa yang sama turut mempersoalkan sikap segelintir majikan dalam kalangan 50 syarikat teratas di Malaysia yang masih berhati-hati untuk memberikan kenaikan gaji kecil kepada pekerja meskipun syarikat meraih keuntungan mencecah bilion ringgit.
“Kita senaraikan berapa syarikat besar di negara kita, untung RM1 bilion hingga RM2 bilion tetapi mahu naikkan gaji pekerja RM40 pun sukar, bagaimana hal ini boleh berlaku?.
“Saya sedar seorang Perdana Menteri harus bicara teratur kerana pertumbuhan kita membanggakan, pelaburan mencatat sejarah tertinggi, kadar pengangguran rendah dan prestasi ringgit adalah yang terbaik di Asia, namun suara berikutnya ialah tentang nasib rakyat di bawah,” katanya.
Perdana Menteri menambah, keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, serta dedikasi pekerja kilang dan pegawai kerajaan peringkat bawahan yang berdepan pelbagai risiko setiap hari.
Justeru, beliau menggesa pihak swasta supaya turut sama memikul tanggungjawab moral dalam menyeimbangkan pengagihan kekayaan.
Tambah Anwar, walaupun sistem perundangan untuk memaksa syarikat swasta menaikkan gaji secara drastik adalah mencabar dan tidak mempunyai formula mudah, beliau menyeru kepada `pintu hati’ para pemilik modal untuk menilai semula sumbangan tenaga kerja mereka.
“Saya ingin menggesa wakil syarikat supaya renung bersama. Kita mahu pekerja disiplin dan produktiviti tinggi, itu tanggungjawab semua peringkat.
“Kita mahu negara ini bersih, maka tukang sapu dan tukang cuci juga berperanan besar. Jadi boleh tak kita tanya, apakah mereka ini diberi perhatian dan keadilan secukupnya?” soal beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa gesaan tersebut bukanlah satu langkah yang akan menjejaskan daya saing negara di peringkat global, sebaliknya merupakan tuntutan kemanusiaan berteraskan konsep Malaysia MADANI.
“Saya tidak mengusulkan diberikan ganjaran yang menyebabkan kita hilang daya saing. Saya hanya usulkan supaya pimpinan negara dan pimpinan syarikat itu lebih prihatin dan menunjukkan sikap ehsan. Jika kita mahu pertahankan negara ini supaya aman dan inklusif, ia harus mempunyai jiwa,” katanya.


