PN-BN bakal tampil manifesto bersepadu – Annuar

PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bakal menampilkan manifesto bersepadu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menerusi gabungan input dan persefahaman kedua-dua gabungan.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi memastikan manifesto yang dipersetujui bersama dapat dizahirkan untuk dibentang kepada rakyat.

Menurut beliau, Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya PN bersetuju membentuk jawatankuasa kerja khusus bagi memuktamadkan syor dan input berkaitan manifesto terbabit.

Katanya, disebabkan kali ini PN membentuk persefahaman dengan BN, maka input manifesto PN akan diadunkan atau disekalikan dengan manifesto PN-BN.

“Memandangkan proses ini agak kompleks kerana membabitkan parti komponen dan jumlah calon yang ramai, kita menubuhkan jawatankuasa kerja terlebih dahulu untuk mengemukakan syor.

“Syor itu kemudiannya akan dirujuk kepada BN sebagai input bersama,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk PN di Kompleks Pas (Kompas) di Seremban hari ini, lapor BH.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Annuar berkata, setiap calon PN akan menampilkan ikrar atau komitmen calon yang bersifat setempat.

“Ia manifesto tetapi bersifat setempat bagi calon-calon berkenaan. Sekiranya mereka dipilih, apakah yang akan mereka tawarkan kepada para pengundi di situ. Jadi kita ada dua (jenis manifesto),” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menzahirkan keyakinan tinggi terhadap penerimaan luar biasa pengundi di lapangan menjelang PRN Negeri Sembilan.

Katanya, momentum sokongan ketika ini berpihak kepada gabungan kerjasama PN-BN yang dilihat mula mendahului persaingan di negeri berkenaan.

“Sangat baik. Sekarang PN-BN ini mendahului. Gelombang biru mendahului gelombang merah.

“Orang boleh rasa gabungan ini. Persefahaman ini sudah memberi aura baharu kepada orang ramai,” katanya ketika ditanya mengenai sentimen semasa di lapangan menjelang PRN.

Mengulas mengenai dinamika politik semasa, Muhammad Sanusi menyifatkan persefahaman berkenaan sebagai kekuatan baharu yang kini menjadi tunjang utama landskap politik negara.

“Ini kekuatan baharu yang ada dalam politik. Sesiapa yang mahu bersama dengan kekuatan ini, kena datang ke sinilah (PRN Negeri Sembilan),” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img