POLIS mengenal pasti mayat lelaki yang ditemukan dalam longkang di Jalan Kedah, Georgetown hari ini, sebagai seorang gelandangan warga tempatan berusia 37 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, mangsa yang beralamat di Kapar, Selangor dipercayai menginap di kawasan berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan lelaki tidak sedarkan diri dalam longkang sebuah premis di jalan berkenaan pada jam 9.26 pagi.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa adalah warga tempatan dan pemeriksaan lanjut pada badan mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Laporan Mati Mengejut (SDR) dibuka bagi siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan mayat lelaki itu ditemukan oleh pekerja pembersihan di lokasi berkenaan.
Polis turut menemukan beberapa barangan dipercayai milik mangsa termasuk kain selimut dan alas tempat duduk di kaki lima premis berhampiran longkang tempat mayat ditemukan.


