POLIS sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mengikat leher seekor kucing sebelum menggantung haiwan itu di luar tingkap trak pikap dipandunya dalam kejadian di Jalan Batu 2, Jalan Mersing, Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pada jam 6.30 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan video berdurasi tujuh saat yang memaparkan perbuatan berkenaan dan dimuat naik di Facebook.
“Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau IPD Kluang bagi membantu siasatan.
Terdahulu, rakaman berkenaan tular di media sosial dan mengundang kecaman pengguna yang menggesa tindakan diambil terhadap lelaki terbabit.
Selain menggantung kucing di luar tingkap kenderaan, lelaki itu turut dirakam membunyikan hon ketika memandu sambil memegang sebatang kayu.





