Lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor didakwa tipu RM40,000

INDIVIDU yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit (ADC) Raja Muda Selangor didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dalam urusan pembelian kenderaan lelong bernilai RM40,000, April lalu.

Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, manakala seorang lagi tertuduh, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memperdayakan seorang wanita berusia 43 tahun dengan mendakwa mereka boleh menguruskan pembelian sebuah kereta terpakai jenis Lexus RX350 yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM40,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Sri Andalas di sini, antara 13 hingga 14 April lalu, lapor Bernama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Al Zulfadly diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Tholasee, manakala Nurul Nur Syahirah diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Uzzair Osman menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh. Bagaimanapun, kedua-dua peguam memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Shah Alam dan menetapkan 20 November ini untuk sebutan semula.

Semalam, kedua-dua tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan menipu membabitkan urusan jualan kenderaan lelong bernilai RM30,000 pada Mei lalu.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin itu, Al Zulfadly mengaku bersalah manakala Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here