JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memberi jaminan akan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam insiden gangguan seksual dan buli siber membabitkan seorang pelajar di negeri itu.
JPN Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, kes berkenaan kini dalam siasatan polis dan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan.
Menurut kenyataan itu, siasatan dalaman turut dijalankan bagi meneliti setiap aspek berkaitan insiden berkenaan.
“Tumpuan utama JPN Pulau Pinang ketika ini adalah untuk melindungi murid yang menjadi mangsa.
“Intervensi sokongan psikososial sedang dilaksanakan bagi membantu murid yang terjejas,” menurut kenyataan itu hari ini.
JPN Pulau Pinang turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku seksual dan perbuatan buli yang berlaku di institusi pendidikan.
Semalam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera susulan dakwaan kes buli seksual digital terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima di negeri itu.
Pengerusinya, Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya kejadian yang didakwa menyebabkan mangsa serta keluarganya mengalami tekanan emosi yang serius.
Menurutnya, tindakan menyunting gambar mangsa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan berunsur lucah sebelum disebarkan melalui media sosial dan platform lain bukan sekadar gurauan.
Sebaliknya, katanya, perbuatan itu merupakan satu bentuk keganasan seksual digital yang mencabuli maruah, privasi dan hak mangsa.
Semalam, media turut melaporkan seorang ibu merayu kepada individu yang dipercayai menyebarkan poster serta memanipulasi gambar anak perempuannya supaya menghentikan perbuatan itu kerana dikhuatiri menjejaskan emosi dan keselamatan remaja terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.






