SEBUAH kedai di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Johor Bahru dipecah masuk awal pagi kelmarin, dengan sebuah papan selaju atau skateboard dilarikan suspek.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek memecahkan cermin pada pintu belakang premis sebelum masuk ke dalam kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi apabila suspek memecahkan cermin pintu belakang premis.
“Suspek kemudian mengambil sebuah skateboard sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Menurutnya, polis sedang giat mengesan individu berkenaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup yang dikongsikan pihak kedai menerusi media sosial menunjukkan seorang lelaki memasuki premis berkenaan sebelum mengambil sesuatu.
Dalam salah satu rakaman, lelaki terbabit turut dilihat bersembunyi seketika di dalam kedai dipercayai selepas menyedari bunyi atau kehadiran individu lain.
Suspek kemudiannya dilihat keluar dari premis berkenaan dan meninggalkan lokasi dalam keadaan bersahaja.





