POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga China bagi membantu proses menghadapkan individu berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kesalahan dadah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki yang dikesan ialah Huang Zhixin, 33.
Menurutnya, lelaki terbabit dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit supaya tampil membantu pihak polis.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Inspektor Khairul Izwan Zainal Abidin di talian 017-624 3870,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, maklumat juga boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9205 0222 sambungan 0207.
Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi membantu polis mengesan lelaki terbabit untuk tindakan selanjutnya.





