Tular pelajar dipukul beramai-ramai, polis cari suspek

POLIS giat mencari  sekumpulan pelajar sekolah yang dipercayai terbabit memukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sehingga cedera dalam kejadian di Merotai Besar, Tawau, susulan rakaman videonya tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, mangsa tampil membuat laporan pada jam 8.09 malam semalam sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membuka kertas siasatan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu di Jalan Sri Delima, Merotai Besar.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya melalui jalan pintas berhampiran sebuah ladang kelapa sawit untuk ke Masjid Merotai Besar bagi menunaikan solat Jumaat.

“Ketika melalui kawasan berkenaan, mereka didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenalinya sebelum bertanyakan mengenai keberadaan dua individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada kumpulan terbabit kemudian bertindak menyerang dan memukul mangsa sebelum beberapa lagi pelajar lain turut menyertai serangan.

“Malah, tiga rakan mangsa turut dipukul oleh kumpulan berkenaan dalam kejadian itu,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Menurut Wilynton, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan polis sedang mengesan semua individu yang dipercayai terbabit bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img