POLIS percaya telefon bimbit milik seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma di ibu negara dikesan pada kedudukan antara kawasan Puchong ke Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, pengesanan itu diperoleh kerana setakat ini telefon bimbit mangsa masih berfungsi.
“Telefon terbabit masih ada deringan namun kadang-kadang ia ‘on-off’ dan mengikut daripada kedudukannya (isyarat), kita dapat jangkakan ia mungkin berada di sekitar kawasan Puchong ataupun Shah Alam.
“Telefon bimbit itu diletak dalam beg, mungkin beg tu hanyut bersama dengan telefon dan mungkin bukan bersama dengan mangsa,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian petang ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Sazalee, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dijalankan sehingga 20 kilometer (km) dengan empat pasukan ditempatkan di setiap lima km sepanjang Sungai Klang hingga ke Plaza Tol Lebuhraya Shah Alam (Kesas).
Tambahnya, bagaimanapun sehingga petang ini tiada penemuan mangsa.
Menurut beliau, operasi SAR hari ini ditangguh sementara setakat jam 6.30 petang dan akan disambung semula jam 8 pagi esok (Rabu).
Katanya, operasi SAR turut menggunakan aset iaitu bot, kayak dan dron sehingga ke kawasan perangkap sampah di Puchong.
“Kereta pacuan empat roda Pajero (Mitsubishi) yang hanyut juga masih belum ditemui di mana paras air juga masih tinggi kira-kira dua meter dan belum dalam keadaan normal.
“Esok kita akan akan tambah kekuatan dengan menggunakan pasukan penyelam dan bantuan dari semua agensi termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rahmat Kamarulzaman berkata, keadaan paras air memberi sedikit tentangan kepada penyelam tetapi diharapkan esok air kembali kepada paras normal.
“Selain pasukan penyelam bomba, kita juga mendapatkan bantuan kekuatan anggota dari Pasukan Polis Marin (PPM). Kita turun ke kawasan hotspot dan laluan keluar masuk air bagi mencari mangsa namun masih belum ada petunjuk,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa berhubung satu kejadian banjir yang melibatkan mangsa.
Susulan panggilan tersebut, satu jentera bersama anggota dari BBP Titiwangsa dan balai bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah telah diarahkan ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan di lokasi, didapati 12 mangsa terperangkap di bawah jambatan.
Pasukan operasi telah menjalankan penyelamatan menggunakan tali yang mana 11 mangsa terdiri daripada seorang warga Malaysia. 10 warga asing berjaya diselamatkan, manakala seorang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun dilaporkan hilang.
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengalihkan kenderaan yang diletakkan di bawah jambatan sejurus menyedari kehadiran kepala air.


