SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM18.36 juta melibatkan 14 hartanah, susulan siasatan kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tindkaan penyitaan itu merangkumi tujuh rumah kediaman bernilai RM15.53 juta termasuk sebuah banglo bernilai RM10 juta, tiga ruang pejabat bernilai RM1.53 juta serta empat lot tanah bernilai RM1.3 juta di Kundang, Marang dan Temasya Glenmarie.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM18.36 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” menurut SPRM dalam hantaran di TikTok.
Difahamkan, sitaan berkenaan dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan dakwaan penyelewengan dana NGO terbabit.
SPRM semalam mengesahkan siasatan kes penyelewengan RM230 juta yang dikaitkan dengan sebuah NGO setakat ini tidak membabitkan sumber dana daripada institusi zakat dalam negara.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan pihaknya mendapati, penyelewengan dikesan berlaku dalam NGO itu di mana NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuk komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman empat hari hingga Sabtu ini, selepas ditahan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Memetik sumber, media semalam melaporkan siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.
Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO itu memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga peribadi.


