POLIS menggempur lokasi tumpuan aktiviti samseng jalanan di Kilometer 45, Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Panchang Bedena, di Sungai Besar dalam operasi besar-besaran bermula malam tadi hingga awal pagi ini.
Dalam operasi bermula jam 11 malam hingga jam 5 pagi itu, sebanyak 52 saman dikeluarkan manakala sembilan motosikal telah disita.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya telah memeriksa 87 individu dan 60 kenderaan, dengan 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dikesan adalah mengubah suai ekzos, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan lampu obligatory tidak berfungsi.
“Kesalahan lain dikesan adalah menunggang di bawah umur, tiada perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Md Yusof berkata, selain dikenakan tindakan saman, polis turut menyita sembilan motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kenderaan itu disita atas kesalahan ubah suai ekstrem dan struktur kenderaan tidak selamat. Model diambil tindakan adalah Yamaha Y15ZR, Yamaha LC 135, Kawasaki RR dan Yamaha 125ZR,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada samseng jalanan supaya tidak melakukan aktiviti yang melanggar peraturan jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi,” tegas beliau.






