TIGA gadis ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan selepas aksi “Supergirl” tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kesemua mereka telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuantan sebelum ditahan.
“Hasil soal siasat kesemua yang terlibat mengaku terlibat dalam aksi berbahaya itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashari berkata, pihaknya turut merampas tiga buat motosikal jenis Yamaha LC135 yang dipercayai digunakan ketika aksi menunggang secara berbahaya itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan aksi berbahaya sehingga mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform meraih perhatian dengan melakukan aksi melanggar undang-undang.






