Warga emas terjatuh dari perahu ditemukan lemas

SEORANG lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Batang Oya di Kampung Tanam Seberang, di Dalat, Mukah ditemukan lemas hari ini.

Mayat Henry Stamslaus Secon, 60, ditemukan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masuk hari kedua pada jam 9.15 pagi, kira-kira 50 meter ke hulu sungai dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari semalam, penduduk dilaporkan ternampak perahu terbalik selepas terlanggar jeti berhampiran rumahnya.

Pemeriksaan kemudian mendapati mangsa tiada di dalam perahu berkenaan dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 petang semalam.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 4.31 petang bagi menjalankan operasi pencarian.

“Operasi diteruskan hari ini dengan pasukan keluaran operasi bergerak ke lokasi pada jam 8 pagi sebelum pencarian dimulakan sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada jam 9.15 pagi, pusat kawalan operasi menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 50 meter ke hulu sungai dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti pada jam 10 pagi untuk pengecaman oleh waris sebelum diserahkan kepada polis pada jam 10.30 pagi bagi tindakan lanjut.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Mukah menggunakan kenderaan polis,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR yang membabitkan tiga anggota bomba dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Dalat serta penduduk kampung ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img