Polis kenal pasti identiti 3 mangsa nahas di Kota Tinggi

POLIS hari ini mengesahkan identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan Honda City dan Toyota Vios di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing di Kota Tinggi semalam.

Ketiga-tiga mereka ialah pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan penumpang, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, manakala pemandu Honda City, Muhamad Amin Mukhtar, 35.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 5.25 petang.

Beliau berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Toyota Vios berkenaan terbabas, sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan bertugas.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan prosedur siasatan,” katanya hari ini, lapor BH.

Menurut Yusof, kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian jam 5.05 petang.

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamatan termasuk rescue cutter dan pengusung.

Punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here