Padah ingin untung besar segera, wanita rugi hampir RM120,000

SEORANG wanita kerugian hampir RM120,000 akibat terpedaya dengan pulangan pelaburan RM15,000 dalam masa dua jam, dijalankan sindiket skim pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa mangsa berusia 58 tahun itu pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa tertarik menyertai skim berkenaan selepas melihat iklan pelaburan itu di Facebook pada 19 Julai lalu.

“Modus operandi sindiket ialah menawarkan pakej pelaburan serendah RM300 dengan janji pulangan sehingga RM15,000 dalam tempoh dua jam.

“Selepas itu, mangsa diminta membuat beberapa bayaran tambahan secara berperingkat kononnya bagi membolehkan keuntungan pelaburan yang disekat dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Yusof berkata, mangsa melakukan lapan transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM119,599.24.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan walaupun sudah membuat beberapa pembayaran.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar, terutama yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Orang ramai juga disaran mengikuti laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi mendapatkan maklumat mengenai modus operandi jenayah komersial terkini.

“Selain itu, semak nombor akaun melalui perkhidmatan Semak Mule sebelum membuat sebarang transaksi kepada individu yang tidak dikenali serta muat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk menyekat pengaliran wang daripada akaun suspek.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img