POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengemukakan permohonan kepada polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang telah meninggalkan negara, sejurus sebelum dijadual dituduh di mahkamah awal tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM sedang berusaha mengesan Tamim sambil memaklumkan aktivis itu dipercayai masih berada di luar negara berdasarkan semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Polis telah memperolehi waran tangkap daripada Majistret Langkawi pada 17 Mei 2026 dan telah bertindak menyenarai hitamkan suspek.
“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, polis telah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan Notis Merah kepada pihak Interpol pada 08 Jun 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin mengetahui tindakan kerajaan memastikan Tamim dibawa pulang bagi berdepan pertuduhan di mahkamah.
Sejumlah 192 laporan dibuat terhadap Tamim susulan dakwaan sebuah video yang menunjukkan dia mencemarkan kesucian trishul, iaitu objek suci penganut Hindu.
Tamim sepatutnya dituduh di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemar atau merosakkan tempat ibadat atau objek yang dianggap suci dengan niat untuk menghina agama.
Namun, pihak pendakwaan memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan dia dibawa ke mahkamah, sambil menyatakan Tamim berada di Arab Saudi selepas melakukan perjalanan ke Riyadh dari Bangkok.






