Polis mohon lanjutan reman 13 individu kes seludup dadah guna aset TUDM

POLIS akan memohon lanjutan tempoh reman selama seminggu lagi terhadap 13 individu termasuk pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan kemudahan penerbangan tentera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, permohonan itu bertujuan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan lebih menyeluruh, termasuk mengesan rangkaian lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Beliau berkata, daripada 13 individu yang ditahan, tujuh terdiri daripada pegawai kanan dan anggota TUDM, manakala enam lagi adalah orang awam yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kegiatan jenayah itu.

“Jadi reman kita dapat lebih kurang selama seminggu dan kita akan cuba mendapatkan tambahan reman selama lebih seminggu lagi bagi memastikan siasatan dapat diteruskan dan mereka yang terlibat ini dapat kita bawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.

Pada Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan 13 individu termasuk tujuh pegawai dan anggota TUDM serta dua koordinator sindiket menerusi operasi di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 11 individu yang direman sejak 18 November lalu dijadualkan tamat tempoh reman hari ini, manakala tempoh reman dua lagi suspek berakhir esok.

Mohd Khalid dalam pada itu berkata, pihaknya percaya masih terdapat individu lain yang mempunyai kaitan dengan sindiket itu dan tidak menolak kemungkinan penahanan baharu dilakukan bagi melengkapkan siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here