DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kekal menjadi keutamaan sistem pendidikan negara dan pada masa sama membuka ruang kepada pelajar menguasai bahasa asing yang mempunyai kepentingan ekonomi dan bernilai global.
Perdana Menteri berkata, penguasaan bahasa Melayu tidak boleh dikompromi, manakala penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai negara yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Sejak tiga tahun lalu, antara tugas utama yang saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah memastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu itu dikuasai oleh semua anak-anak tanpa kecuali.
“Pada masa yang sama, kita tahu kepentingan bahasa Inggeris. Kalau Malaysia mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan bahasa Inggeris itu harus dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya hari ini. Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga tidak melihat usaha memperluaskan penguasaan bahasa asing sebagai sesuatu yang bercanggah dengan agenda memartabatkan Bahasa Melayu.
Sebaliknya, pelajar perlu diberi peluang menguasai bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab, Perancis dan bahasa asing lain mengikut keperluan semasa serta perkembangan ekonomi dunia.
“Apa ruginya kalau kita berikan ruang secukupnya untuk anak-anak kita menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab atau memilih bahasa Perancis dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus meletakkan aspek kebajikan warga pendidik sebagai keutamaan negara.
Katanya, tumpuan utama kerajaan adalah memperkukuhkan sektor pendidikan termasuk menambah baik skim perkhidmatan, laluan kerjaya dan kebajikan guru.
“Dalam setiap mesyuarat, perbincangan skim dan tumpuan, kita tidak tinggalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan profesion perguruan dan semua pihak.
“Sekarang kita tingkatkan peluang sama ada kenaikan gaji, kemudian peluang kerjaya, biar guru-guru itu tidak merasa perlu naik ke jabatan sebelum diberi pengiktirafan,” katanya.






