PENGANALISIS politik, James Chai dilaporkan sudah dibebaskan selepas diambil keterangan selama lebih lapan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.
Bekas pegawai khas kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu dilepaskan oleh pegawai penyiasat kira-kira jam 6.30 petang tadi.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Tambahnya lagi, keterangan James akan disambung semula jam 10 pagi esok.
Terdahulu, James tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 10 pagi tadi untuk membantu siasatan berkaitan projek semikonduktor bernilai RM1.11 bilion yang disokong kerajaan.
Dia dilihat memakai baju berwarna putih dan berada di tempat penumpang sebuah kereta Proton Pesona sebelum dirakam masuk ke dalam pejabat SPRM.
Sejak awal Mac lalu, James yang menetap di London dicari oleh SPRM sebelum agensi itu menerima surat daripada peguam bertarikh 9 Mac lalu yang memaklumkan bahawa lelaki itu tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan atas alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.
SPRM kemudiannya mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac, memberi lanjutan masa untuk James hadir pada 31 Mac lalu, namun beliau sekali lagi gagal hadir.
Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan surat susulan menetapkan bahawa beliau perlu hadir dalam tempoh dua minggu, dengan suruhanjaya berkenaan bersedia menanggung kos penerbangannya pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan.
SPRM ketika itu turut akan menimbang mendapatkan kerjasama saluran antarabangsa, termasuk polis antarabangsa (Interpol) atau agensi penguatkuasaan luar negara bagi mengesan dan memastikan kehadirannya.


