RASA tanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa manusia menjadi dorongan utama kepada sukarelawan Orang Asli suku Semai untuk menghulurkan bantuan bagi menjejaki pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.
Tok Batin Kampung Ampang Woh, Bah Lilit, 52, berkata, usaha itu bukan sekadar tugasan, sebaliknya amanah untuk membantu pasukan penyelamat mengesan mangsa selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih buntu.
“Pada mulanya kami hanya mengikuti perkembangan pencarian kerana tidak mahu mengganggu tugas pasukan penyelamat. Kami percaya setiap agensi mempunyai kepakaran dan perancangan tersendiri untuk mencari mangsa.
“Apabila mangsa masih belum ditemukan, kami terpanggil untuk membantu, mungkin dengan sedikit pengalaman mengenai kawasan ini dapat memudahkan operasi pencarian. Hasrat kami, hanya untuk membantu pasukan penyelamat menjumpai mangsa secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Kampung Ampang Woh di Tapah hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata, operasi pencarian kumpulan itu akan digerakkan esok bermula jam 7 pagi dan akan mengambil masa enam hari, melalui laluan Kampung Ampang Woh menuju ke lokasi sekitar Kem Sukaneka dan Gunung Rayu yang dipercayai menjadi antara laluan mangsa.
Beliau berkata, bagaimanapun laluan ke kedua-dua lokasi berkenaan berbeza daripada trek utama yang lazim digunakan oleh anggota penyelamat dan malim gunung yang menyertai operasi tersebut.
“Kita akan bermula dari Kampung Woh menuju ke Kem Sukaneka yang akan memakan masa lebih sehari. Selepas tiba di kem berkenaan, kami akan berehat seketika sebelum meneruskan pencarian di sekitar kawasan itu.
“Jika tiada sebarang jejak atau kesan, proses pencarian akan diteruskan ke Gunung Rayu yang mengambil masa sekitar enam jam untuk sampai ke sana,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Mengulas mengenai kaedah pencarian, beliau berkata, kesemua sukarelawan yang terlibat akan bergerak secara serentak dalam satu kelompok besar dengan membuka laluan masing-masing bagi memperluaskan kawasan pencarian.
“Setiap orang akan buka laluan masing-masing dalam jarak yang membolehkan kami saling melihat. Kaedah ini memudahkan kawasan pencarian diliputi dengan lebih luas tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Jika ada kesan yang ditemukan, maklumat itu dapat disampaikan dengan segera kepada anggota lain,” katanya.
Selain itu, Bah Lilit berkata, antara cabaran utama yang dijangka dihadapi sepanjang operasi itu ialah bentuk muka bumi yang berbukit-bukau serta keadaan hutan tebal yang menyukarkan pergerakan untuk proses pencarian.
Katanya, faktor cuaca yang tidak menentu selain tempoh perjalanan yang panjang untuk sampai ke lokasi pencarian turut menambah kesukaran, apatah lagi kumpulan tersebut perlu membawa bekalan makanan dan peralatan mencukupi sepanjang tempoh pencarian.
Sementara itu, seorang sukarelawan, Bah Fazil, 56, berkata, beliau akan berperanan sebagai penunjuk arah dan pemantau laluan sepanjang operasi pencarian bagi memastikan pergerakan pasukan berjalan lancar serta tidak tersasar daripada kawasan yang telah dikenal pasti.
“Saya akan membantu menunjukkan laluan yang sesuai selain mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk diperiksa berdasarkan pengalaman saya keluar masuk hutan di kawasan ini sejak sekian lama.
“Apa yang penting adalah memastikan semua anggota bergerak dengan selamat dan setiap kawasan yang disyaki dapat diperiksa dengan teliti,” katanya.
Dalam pada itu, Bah Fazil menasihatkan pendaki dan pencinta alam supaya memaklumkan kepada komuniti Orang Asli di kawasan sekitar sebelum memulakan sebarang aktiviti pendakian, bagi memudahkan pemantauan serta keselamatan bersama.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat segelintir pendaki yang tidak memaklumkan kehadiran mereka kepada penduduk setempat, dan hanya mendapatkan bantuan selepas berlaku kejadian tidak diingini.
“Kalau mereka maklumkan lebih awal, kami boleh bantu dari awal lagi. Ini akan memudahkan operasi pencarian sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana kami lebih arif dengan laluan dan keadaan kawasan hutan di sini,” katanya.
Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.


