Tiga lelaki berdepan penjara 20 tahun, rompak kedai runcit guna parang

TIGA lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas didakwa merompak sebuah kedai runcit menggunakan parang di Taman Klebang Ria, Ipoh, Mei lalu.

S. Barani Tharan, 33, Yuvaneswara, 30, dan M. Suntaresswaran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad di Mahkamah Sesyen Ipoh, semalam.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merompak wang tunai RM850, sebuah tablet jenama Redmi dan telefon bimbit jenama Vivo milik Phon Tuck Kei, 34, di sebuah kedai di Taman Klebang Ria pada jam 5.55 pagi, 31 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveena berkata, kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Beliau mencadangkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat mereka melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Selain itu, setiap tertuduh perlu dijamin seorang warganegara tempatan dan dilarang mengganggu mana-mana saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Nahtan Krishnan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, kesemua anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh kasar, manakala Yuvaneswara sudah berkahwin.

Katanya, Barani Tharan dan Suntaresswaran yang masih bujang pula menanggung ibu bapa masing-masing.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta 18 Ogos depan untuk serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img