POLIS mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian seorang pelajar tingkatan empat yang maut selepas terjatuh bangunan di sebuah sekolah menengah di Sendayan, Seremban pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzfany Ahmad berkata, siasatan awal dan hasil bedah siasat mendapati kes berkenaan tidak menjurus ke arah kes buli dan seumpamanya.

“Bedah siasat sudah dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, pada malam Jumaat lalu dan hasilnya, punca kematian dikenal pasti kerana kecederaan kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Dalam kejadian Jumaat lalu itu, Alzafny dilaporkan berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah pada jam 10.48 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 16 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyantuni keluarga pelajar itu di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada malam kejadian.
Sementara itu, mengulas lanjut, Alzafny menjelaskan, 10 ke 15 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan antaranya ibu bapa pelajar terbabit, guru dan rakan sekolah.
“Pelajar perempuan berkenaan terjatuh dari bangunan blok sekolah dan tiada unsur jenayah. Ia masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Cuma saya minta orang awam supaya tidak membuat kesimpulan sendiri kejadian ini atau menyebarkan maklumat tidak sahih selain menghormati keluarga remaja berkenaan,” katanya.






