Lelaki lakukan aksi tidak senonoh depan pembantu pustakawan ditahan

POLIS berjaya menahan suspek lelaki yang disyaki melakukan aksi tidak senonoh dan mencuri wang milik pembantu pustakawan di Perpustakaan Desa Padang Siding di Arau pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan tengah hari tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar esok untuk permohonan reman.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku melakukan perbuatan melampau terhadap wanita berusia 37 tahun dan mencuri wang tunai milik mangsa.

“Susulan penahanannya, polis merampas motosikal jenis Yamaha Y15ZR, anak kunci dan topi keledar yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Media pada Rabu lalu melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki yang melakukan aksi tidak senonoh di hadapan seorang pembantu pustakawan wanita di Perpustakaan Desa Padang Siding.

Dalam kejadian itu, pembantu pustakawan itu turut mendakwa wang tunai RM390 miliknya hilang dicuri lelaki berkenaan ketika mangsa mendapatkan bantuan.

Ahmad Mohsin dalam pada itu berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan turut menunjukkan dia mempunyai tujuh rekod kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, mencuri, menceroboh dan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK).

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 KK atas kesalahan mencuri di dalam bangunan serta Seksyen 509 KK kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here