POLIS menahan dua lelaki selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terdapat objek menyerupai pistol menerusi siaran langsung (live) di aplikasi Tik Tok yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, Laguna di Merbok semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal dengan MPV Nissan Grand Livina itu pada jam 7 malam tadi.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang menunggang motosikal dan beralamat di Taman Ria, Sungai Petani mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ketika kemalangan itu, orang awam yang membuat siaran langsung (live) di media sosial menemukan objek merupai pistol di dalam kenderaan terbabit kemalangan itu.
“Pegawai polis yang menonton siaran ‘live‘ segera ke tempat kejadian dan bertindak menahan dua lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu kereta itu berusia 37 tahun dan beralamat dari Georgetown, Pulau Pinang manakala penumpang kiri hadapan pula lelaki berusia 35 tahun yang beralamat di Ayer Hitam, Pulau Pinang, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hanyan, kedua-dua lelaki itu didapati positif dadah.
Beliau berkata, mereka juga mempunyai rekod iaitu pemandu kereta terbabit mempunyai 16 rekod dadah dan satu jenayah manakala penumpangnya mempunyai tujuh rekod dadah.
“Kedua-dua suspek akan direman pagi ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) (A) APJ 1987,” katanya.






