POLIS sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kekecohan di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di Cheras semalam yang menyebabkan seorang lelaki tempatan cedera.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian kekecohan itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam.
“Akibat insiden tersebut, seorang lelaki tempatan berusia pertengahan 20-an mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, Mohd Rosdi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berkaitan kejadian berkenaan sehingga siasatan selesai.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh hadir di Balai Polis Cheras atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, suasana di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras tegang selepas aksi Piala ASEAN 2026 antara Malaysia dan Filipina berakhir malam tadi apabila berlaku kekecohan membabitkan dua kumpulan penyokong tempatan.
Insiden yang berlaku di tepi jalan berhampiran kawasan stadium itu dipercayai tercetus susulan provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan.






