EMPAT pelajar lelaki ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk ke asrama perempuan sebuah sekolah menengah di Kuala Nerus baru-baru ini.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi Sabtu lalu ketika penghuni asrama berkenaan sedang tidur.
Menurut sumber, semua pelajar itu dipercayai memasuki asrama perempuan tanpa kebenaran sebelum perbuatan mereka disedari pihak sekolah.
“Difahamkan, keempat pelajar berkenaan adalah pelajar dari sekolah sama. Semua mereka ditahan polis Sabtu lalu bagi membantu siasatan,” kata sumber itu, lapor BH.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan empat pelajar terbabit pada jam 1.13 petang 22 Ogos lalu.
“Semua pelajar terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Beliau berkata, satu perjumpaan bersama keluarga semua pelajar itu turut diadakan dengan membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), wakil Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan warden asrama.
“Tindakan lanjut terhadap semua pelajar itu akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya.





