JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak akan meneruskan pemantauan dan tindakan menggiring seekor gajah liar jantan yang cedera di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik.
Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan pemantauan akan dilakukan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam, bagi memastikan pergerakan serta keadaan gajah berkenaan dipantau susulan haiwan itu masih kembali ke kawasan jalan raya.
“Pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam,” menurut kenyataan itu.
Gajah jantan dewasa itu dikesan berkeliaran di JRTB sejak 17 Ogos lalu dan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.
Bagaimanapun, keadaan fizikal serta tingkah lakunya dilaporkan normal, selain haiwan berkenaan masih mampu makan dan bergerak dengan baik.
“Hasil pemantauan mendapati gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.
“Walau bagaimanapun, keadaan fizikal dan tingkah lakunya adalah normal serta masih mampu makan dan bergerak dengan baik. Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” katanya.
Perhilitan sebelum ini mengambil tindakan menggiring gajah terbabit kembali ke kawasan hutan, selain terus memantau pergerakan dan keadaannya.
Jabatan itu turut mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal, tahap kecederaan dan keperluan tindakan susulan.
Dalam pada itu, pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, dinasihatkan memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di kawasan berkenaan dari kedua-dua arah.
Pengguna jalan raya juga diminta tidak berhenti atau keluar dari kenderaan sekiranya hidupan liar berada di bahu jalan, selain tidak melakukan sebarang bentuk provokasi.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Jabatan Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan, tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik,” menurut kenyataan itu.
Perhilitan turut menegaskan pemberian makanan atau tindakan meletakkan makanan untuk gajah ditegah di sepanjang JRTB.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Umi Amyziana KA melahirkan rasa simpati ke atas nasib gajah yang dikenali sebagai Sulung itu.
“Sulung cuma keluar mencari makan di Gua Musang, bukan mengganggu orang. Kenapa tidak biarkan Sulung berada di kawasan asalnya saja, jika dia tidak mengganggu sesiapa.
“Mungkin di sana ada keluarga dan anak-anaknya yang sedang menunggu. Kita mungkin nampak Sulung sebagai seekor gajah, tetapi bagi Sulung, tempat itu adalah rumahnya. Kesian Sulung, dia cuma mahu pulang,” kata pengguna media sosial itu dalam hantarannya.








