POLIS menahan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes tetak seorang mangsa di kawasan Amara Residensi di Batu Caves, Selangor pada Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Selayang kira-kira jam 10.35 pagi memaklumkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan parah akibat ditetak menggunakan parang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menahan empat lelaki pada hari yang sama.
“Kesemua suspek direman seminggu sehingga 21 Disember bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tangkapan susulan dilakukan semalam dan hari ini melibatkan empat lagi lelaki berusia antara 21 hingga 33 tahun dan kesemua mereka direman sehingga 22 Disember.
Noor Ariffin berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.
Beliau memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hakimie Razally melalui talian 011-3335 2585 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan.


