SEORANG pemuda yang videonya tular bermain mercun di atas jalan raya di Pasir Gudang ditahan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, polis mengesan rakaman video berdurasi 53 saat itu yang dimuat naik di Facebook semalam dan siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di kawasan Seri Alam pada kira-kira pukul 11 malam, 18 Mac lalu.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun pada kira-kira pukul 11 malam pada Sabtu di Kampung Pasir Putih di sini.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Victor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan teliti dan adil,” katanya.


