POLIS Negeri Sembilan meningkatkan kawalan di luar Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan selepas pembatalan Majlis Menghadap Sembah Takzim oleh Ahli Majli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dijadualkan di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban.
Dianggarkan lebih 50 anggota polis ditempatkan di luar dan dalam Balai Undang tersebut dipercayai sejak jam 10 pagi ini.
Langkah kawalan keselamatan itu diambil dipercayai berikutan kehadiran Tunku Nazdaruddin dan Undang Yang Empat di dalam balai berkenaan.
Tinjauan media di luar Balai Undang mendapati kawasan sekitar termasuk di bahagian belakang balai berkenaan dipenuhi anggota polis.
Media hari ini melaporkan, Tunku Nazdaruddin sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Exco di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban jam 9 pagi tadi, namun ia dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pada 21 September lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Bagaimanapun Ismail dalam kenyataan selepas itu menegaskan, tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan.
Kata beliau, ia juga tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Sementara itu, usaha media mendapatkan komen Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berhubung kawalan ketat di kediaman rasmi Undang Luak Sungei Ujong gagal.





