Polis tumpaskan Geng Ventri aktif curi motosikal, empat remaja bawah umur diberkas

POLIS menumpaskan Geng Ventri yang aktif mencuri motosikal di kawasan parkir luar stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Sungai Petani dalam serbuan pada Selasa lalu.

Tiga daripada empat remaja itu merupakan adik beradik berusia 14, 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun tidak bersekolah dipercayai dalang geng terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, susulan tangkapan, pihaknya turut merampas tiga motosikal curi yang digunakan semua suspek.

“Geng ini menyasarkan motosikal di luar kawasan parkir yang tidak dikunci dengan baik dan menolak motosikal curi seolah-olah ia rosak dan bawa pulang ke rumah.

“Ketiga-tiga motosikal itu tidak ditukar nombor pendaftaran dan digunakan sendiri oleh suspek selain dileraikan untuk dijadikan alat ganti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani hari ini.

Menurut Hanyan, hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala tiga beradik itu masih bersekolah iaitu masing-masing di tingkatan dua dan empat.

“Kesemua suspek kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut akan diteruskan, ” katanya.

Hanyan memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengatur kembali keadaan di kawasan parkir KTMB ini kerana kebanyakannya melimpah ke luar kawasan parkir yang memudahkan kumpulan penjenayah untuk mencuri motosikal.

Katanya, sejak Januari sehingga semalam, direkodkan sebanyak 20 kes motosikal dilaporkan di kawasan itu dicuri dan peningkatan ini berlaku pada April, Mei dan Jun.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img