
DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan Pusat supaya tidak menggunakan isu Persekutuan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, individu terlibat perlu bersedia untuk melepaskan jawatan masing-masing bagi menjaga disiplin dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kalau di peringkat Persekutuan dia pegang jawatan, kemudian dia bawa serangan dan menjadikan ini medan politik yang parah, dia kena jaga disiplin.
“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan sebagai menteri, timbalan menteri atau pemegang mana-mana agensi.
“Tak kiralah sama ada di bawah Felda, Mara ataupun Risda sekali pun…jangan langgar. Kalau ada perlanggaran, saya minta mereka undur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Program MADANI Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun di Ipoh hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, peringatan itu telah disampaikan dalam perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof susulan kempen PRN yang sedang berlangsung.
Katanya, ketegasan itu penting bagi memastikan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan kekal baik dan pentadbiran dapat berjalan lancar.
“Kita tahu parti yang sama di peringkat Persekutuan, ada pertarungan di peringkat negeri. Tidak mengapa kerana dalam sistem demokrasi, itu dibolehkan. Masing-masing boleh buat tafsiran.
“Biarlah kita kawal, kalau ada pertarungan pun, biar di peringkat negeri,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 103 calon disahkan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PH mendominasi saingan dengan menampilkan 36 calon termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di DUN Linggi, diikuti BN sebanyak 25 calon.
Turut bertanding adalah Bersatu dengan 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon serta beberapa parti lain dan calon Bebas.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal pada 28 Julai ini.






