
PAKATAN Harapan (PH) menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berbanding 12 kerusi sebelum ini.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka akan mengusahakan yang terbaik serta bekerja keras dalam PRN Johor kali ini.
“Bagi PH kita akan usahakan yang terbaik, bermula daripada 12 kerusi yang kita menangi dalam Pilihan Raya Negeri 2022.

“Sudah pasti kita berharap dan akan bekerja keras untuk pastikan meningkat daripada jumlah itu. Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kita mula dengan satu kerusi iaitu di Bukit Batu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Edisi Piala Dunia FIFA 2026 di Pasar Awam Parit Jawa di Muar hari ini.
Yang turut hadir, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Soraya Badaruddin.
Barisan Nasional (BN) semalam dilapor menyasarkan pertambahan lebih banyak kerusi dalam PRN Johor kali ini berbanding sebelumnya.
Mengulas lanjut, Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyifatkan dua minggu dalam kempen politik dalam PRN Johor merupakan tempoh yang panjang, selain pelbagai perkara yang mereka sedang rencanakan untuk pertambahan kerusi PH.
“Insya-Allah kita rencanakan, kita rangka dan ada beberapa idea yang akan dilontarkan.
“Semalam Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ada memaklumkan dalam masa beberapa hari ini, manifesto PH bagi negeri Johor akan dibentangkan dan dilancarkan.
“Daripada situ, saya percaya kita akan tunjukkan bahawa PH serius untuk berusaha membentuk kerajaan negeri dan memenangi lebih kerusi yang ditandingi,” katanya.





