BARISAN Nasional (BN) dan Pas sudah memuktamadkan rundingan untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BN akan bertanding di 21 kerusi manakala tujuh kerusi diserahkan kepada Pas dan sekutunya.
Persoalannya Melaka dikatakan kubu kuat BN khususnya UMNO, tetapi kenapakah kedua-dua parti itu tetap bekerjasama. Apakah strategi di sebalik semua ini? Berikut pandangan dua penganalisis berhubung perkara itu?
Strategik BN elak pecah undi, Pas tak peroleh banyak manfaat

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, Prof Madya Dr.Mazlan Ali
Saya melihat kerjasama BN dan Pas di Melaka sebagai satu usaha strategik BN. Walaupun pengaruh Pas di Melaka tidak begitu besar, sokongan parti itu boleh memberikan nilai tambah kepada peluang kemenangan BN.
Jika Pas bertanding secara bersendirian, pertandingan tiga penjuru boleh menyebabkan undi Melayu berpecah. Oleh itu, kerjasama ini dilihat sebagai langkah BN untuk mengelakkan perpecahan undi Melayu, meskipun Pas tidak diberikan jumlah kerusi yang sewajarnya untuk ditandingi.
Sebenarnya, BN tidak semestinya memerlukan sokongan pengundi Pas di Melaka kerana UMNO mempunyai asas sokongan politik yang kukuh di negeri itu. Jika bertanding secara bersendirian sekalipun, BN masih berpotensi memenangi kerusi yang ditandinginya dan mempertahankan 21 kerusi, malah mungkin menambah jumlah kerusi.
Ini menunjukkan bahawa meskipun BN berupaya memenangi pilihan raya di Melaka, parti itu memilih untuk bekerjasama dengan Pas bagi mengelakkan perpecahan undi. Pas pula tidak memperoleh banyak manfaat daripada kerjasama ini kerana BN diberikan jumlah kerusi yang jauh lebih banyak untuk ditandingi, manakala Pas hanya mendapat sedikit kerusi.
Pembahagian yang tidak seimbang ini juga boleh menjejaskan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua parti dalam pilihan raya akan datang. Di negeri yang dikuasai Pas seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, Pas mungkin tidak akan memberikan laluan kepada BN, sebagaimana BN tidak memberikan ruang yang lebih besar kepada Pas untuk bertanding di Melaka.
Dominasi BN akan lebih kukuh

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, Ariff Asyrul Adnan
Kerjasama BN-Pas dilihat secara konteks “electoral pact” telah bermula dalam PRN Negeri Sembilan lalu yang menjelaskan kekuatan politik identiti dibawa oleh kerjasama dua parti.
Pertama, ini kerana faktor dua parti ini mewakili segmentasi pengundi Melayu. Kedua, fokus kepentingan yang sama. Prestasi BN di Melaka sebenarnya agak baik dari segi pentadbiran, jadi itu boleh dijadikan sebagai justifikasi keperluan BN untuk mendominasi agihan kerusi dalam PRN Melaka 2026 ini.
Isu berkaitan dengan BN pergunakan Pas untuk menang adalah terlalu simplistik. Ini kerana dalam politik siapa yang bijak mengambil peluang dan ruang, dia yang akan mendapat labanya.
Jadi dalam hal ini, bagi mengurangkan kemudaratan yakni wujudnya pecahan undi Melayu khususnya, gabungan BN-Pas adalah dilihat lebih signifikan untuk UMNO. Walaupun BN tidak menguasai di bahagian Parlimen, tetapi dari segi konteks lokal, dominasi BN dilihat berpotensi semakin mengukuh di Melaka tetapi kelompok pengundi yang akan jadi penentu adalah pengundi muda nanti.
Tentu sekali, untuk akan datang, kerjasama ini pastinya akan menjadi lebih kukuh sekiranya di negeri didominasi Pas, ruang untuk BN juga perlu diberikan dalam menatijahkan kerjasama ini.
Sesuatu yang masih lagi belum mampu dicapai. Jika tidak, ia hanya sekadar “electoral pact” yang bekerjasama hanya mengikut kepentingan tertentu sahaja. Sesuatu yang merugikan untuk generasi akan datang.
Sekiranya kerjasama ini masih tidak kuat, usaha permuafakatan berkemungkinan besar boleh menjadi rapuh. Seperti dijangka soal agihan kerusi menjadi isu utama disebabkan oleh fokus dan tumpuan kedua-dua parti ini ke arah pengundi Melayu.
Dalam hal ini dilihat BN lebih mendahului kerana imej BN dilihat lebih sinonim dengan konteks masyarakat majmuk. Branding BN itu sendiri sudah mewakili latar kepelbagaian kaum di Malaysia. Berbanding PAS yang lebih dominan dalam konteks Islam-Melayu berpotensi menguasai sebahagian besar pengundi Melayu-Islam.
Jika kedua-dua ini berterusan bekerjasama, usaha untuk mendominasi undi Melayu-Islam pastinya lebih mudah. Kita juga memahami bahawa , pasca PRU15, sosok parti dominan ini sudah berlalu jauh, keperluan utama sememangnya memerlukan kerjasama antara parti bagi membentuk kerajaan yang memerintah baik di peringkat nasional mahupun di sesetengah negeri di Malaysia.
Bagi mengelakkan naratif Pas dipergunakan oleh BN, adalah satu kewajaran untuk Pas membina sebuah branding yang “kukuh” dalam usaha menjustifikasikan keberadaan dan kelangsungan Pas dalam kerjasama BN-Pas.
Pas begitu dominan di 4 negeri dikuasai mereka. Cumanya, luar dari 4 negeri ini, timbul persoalan apakah Pas mampu mendominasi, ataupun sekadar menumpang kekuatan BN, itu juga menjadi satu permasalahan yang perlu dijawab.
Jika melihat prestasi di Johor dan Negeri Sembilan, BN lebih mendominasi tetapi perlu diakui undi daripada penyokong Pas itu juga menjadi satu faktor memperngaruhi prestasi.
Tapi bagaimana dengan survival Pas di negeri lain, itu yang bakal menjadi tanda tanya. Mungkin PRN Melaka ada jawapannya dengan BN bakal bertanding 21 kerusi, dan selebihnya adalah Pas dan rakan sekutunya.





