Jenazah Irene Sofiya selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Parit Arshad di Batu Pahat, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah tiba di rumah neneknya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada 6.30 petang selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Jenazah Irene Sofiya atau Fiya kemudiannya disolatkan di rumah neneknya dan Masjid Kampung Parit Arshad yang dihadiri lebih 100 jemaah terdiri daripada sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung.

Suasana bertukar pilu apabila ada ahli keluarga arwah tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dibawa masuk ke dalam rumah dan memberi peluang ahli keluarga menatap buat kali terakhir, lapor Sinar Harian.

Allahyarham Irene Sofiya ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Mangsa dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan sebelum ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66, bersama rakan mangsa selepas menyedari Irene tidak pulang ke rumah.

Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan. Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan salah seorang suspek berusia 16 tahun yang ditahan pada 7 malam tadi direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam kenyataan berkata, polis turut merampas telefon bimbit, sepasang pakaian dan selipar susulan penahanan suspek.

Allahyarham Irene Sofiya dikenali sebagai pelajar cemerlang dan aktif dalam aktiviti sekolah selain menjadi antara calon yang diharapkan memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here