Verstappen takluk GP Bahrain di Sepang, raih kemenangan pertama musim ini

MAX Verstappen menampilkan aksi dominan untuk menjuarai Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, sekali gus meraih kemenangan sulungnya bagi musim ini.

Pelumba Red Bull Racing itu mengatasi pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli daripada Mercedes, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang mewakili Ferrari menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc berada di kedudukan keempat, manakala Isack Hadjar melengkapkan kelompok lima terbaik.

MAX Verstappen (dua dari kiri) bersama pemenang tempat kedua, Kimi Antonelli (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Lewis Hamilton (kanan) pada penyampaian hadiah perlumbaan GP Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang hari ini

Kemenangan itu melengkapkan hujung minggu cemerlang Verstappen di Sepang, selepas pelumba berusia itu menguasai sesi-sesi perlumbaan sebelum muncul juara dalam perlumbaan yang berlangsung lewat akibat hujan lebat.

Perlumbaan yang sepatutnya bermula pada jam 3 petang terpaksa ditangguhkan kira-kira satu jam setengah selepas hujan monsun lebat menyebabkan air bertakung di beberapa bahagian trek.

Keadaan itu memaksa pihak perlumbaan menangguhkan permulaan bagi memastikan keselamatan semua pelumba dan pasukan.

Drama turut berlaku ketika pusingan formasi di belakang kereta keselamatan apabila beberapa jentera mengalami masalah kehilangan kuasa serta gangguan perisian enjin.

Situasi itu menyebabkan bendera merah dikibarkan sebelum semua jentera dibawa masuk semula ke hentian pit.

Sementara itu, Verstappen menyifatkan kejayaannya menjuarai GP Gulf Air Bahrain di SIC sebagai antara kemenangan yang paling manis dalam kariernya.

Juara dunia empat kali itu berkata, kemenangan dengan catatan masa 1 jam 47 minit 14.808 saat itu lebih bermakna selepas melalui musim yang mencabar selain melihat perkembangan positif pasukannya.

“Saya sangat bangga dengan semua orang dan ia sangat manis untuk menang di sini,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan, lapor Harian Metro.

Kejayaan itu juga menyaksikan Verstappen mengulangi pencapaiannya sembilan tahun lalu apabila GP Malaysia kali terakhir dianjurkan di Sepang pada 2017, yang turut menyaksikan beliau muncul juara.

Mengulas perlumbaan hari ini, Verstappen mengakui permulaannya berlangsung dalam keadaan cukup huru-hara, termasuk jenteranya sendiri berdepan masalah kuasa sebelum kembali berfungsi seperti biasa.

“Ya, ia sangat huru-hara dengan banyak perkara berbeza berlaku pada permulaan.

“Kami membuat keputusan yang tepat dengan menggunakan tayar intermediate dan selepas itu memperbaiki kedudukan. Dari situ saya mengawal perlumbaan sehingga tamat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here