PRN Melaka: Kerjasama BN-PN kian runcing, Pas tak puas hati

KETEGANGAN hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini dikatakan kian terserlah apabila Pas dikatakan tidak berpuas hati dengan soal pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.

Kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dilihat mula goyah apabila BN kekal berpendirian mahu terus mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenangi parti komponen itu, selain pada masa yang sama akan bertanding di kerusi yang sepatutnya diberikan kepada Pas.

Kecelaruan dalam hubungan kerjasama ini sudah mula dikesan apabila BN sebelum ini mengumumkan akan tetap mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenanginya sedangkan PN perlu `berkongsi’ tujuh kerusi DUN selebihnya bersama Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Kejasama BN dan PN dilihat semakin berantakan apabila kedua-dua pihak belum menunjukkan kesepakatan jelas berhubung pengumuman calon dan pembahagian kerusi.

Perkara ini disahkan apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menegaskan bahawa PN turut mengintai peluang menambah satu atau dua lagi kerusi untuk ditandingi pada PRN Melaka pada 14 November ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, PN masih mengintai peluang mendapatkan tambahan satu atau dua kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya berkenaan, meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyebut tujuh kerusi untuk gabungan itu.

Menurutnya, rundingan berhubung perkara tersebut masih berjalan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh sehari dua ini menerusi kepemimpinan tertinggi parti serta Jawatankuasa Perundingan Kerusi.

“Di Melaka ini, kita baru di peringkat Jawatankuasa Induk dan akan memuktamadkannya dalam masa sehari dua ini, walaupun tujuh kerusi sudah disebut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah perdana sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (BMI) di Dataran Warisan Sultan Muhammad IV di Kota Bharu hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengesahkan PN akan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Melaka, namun perkembangan rundingan kerusi berkenaan menunjukkan masih terdapat perkara yang perlu diselaraskan antara parti-parti terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan Pas akan mengumumkan calon PRN Melaka secara bersama atau sepentas dengan BN seperti yang dinyatakan Ahmad Zahid sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, Pas merancang mengumumkan senarai calonnya sendiri pada 28 atau 29 Oktober ini, iaitu pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.

“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, BN dan Pas dijangka berkongsi pentas bagi mengumumkan calon masing-masing di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim itu menunjukkan belum ada pengesahan mengenai pengumuman calon secara bersama seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, Pas sebelum ini memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan calon terlebih dahulu sebelum parti itu mengumumkan senarai calonnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan perkara yang lebih penting ialah memastikan kerjasama antara parti-parti berkenaan dapat diteruskan dengan baik sepanjang PRN Melaka.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here